Showing posts with label Petua Cantik. Show all posts
Showing posts with label Petua Cantik. Show all posts

Tips Keringkan / Kecutkan Jerawat

Assalamualaikum wbt :)

Jerawat yang muncul secara tiba-tiba boleh membuatkan kita merasa tertekan. Tambahan pula jika ada acara penting pada keesokan hari yang memerlukan kita berhadapan dengan orang ramai dengan penuh yakin. 
Tapi jangan risau, mari cuba beberapa tips di bawah untuk menghilangkan jerawat dalam masa satu malam!

AIS BATU
Sebelum korang membuat keputusan memicit jerawat, eloklah jika korang mengambil seketul ais dan bungkus dalam kain yang bersih.Tekapkan di kawasan yang ditumbuhi jerawat selama 30 saat sebelum menyapu krim jerawat. Ais batu berfungsi mengecilkan liang roma dan menyerap minyak yang berlebihan.

CAMPURAN KAYU MANIS & MADU 
Antara kaedah lain untuk menghilangkan jerawat ialah mencampurkan serbuk kayu manis dan madu. Gaulkan serbuk yang dicampur tadi sehingga rata dan sapukan di bahagian wajah yang berjerawat. Campuran ini akan membantu mengatasi masalah keradangan dan membuat jerawat menjadi kecut. Biarkan ia semalaman sebelum dibasuh pada keesokan paginya.



PERAHAN LEMON
Sewaktu membersihkan muka, korangboleh membilas muka yang berjerawat dengan perahan air lemon sebelum membilas muka sekali lagi dengan air bersih. Perahan lemon mampu mengurangkan minyak pada kulit wajah hingga menyebabkan wajah bebas jerawat.


UBAT GIGI
Cuci muka dengan air bersih dan biarkan sehingga kering. Selepas itu, letakkan sedikit ubat gigi pada jerawat tersebut. Biarkan ia semalaman sebelum mencuci wajah sehingga bersih. 


PUTIH TELUR
Pecahkan sebiji telur dan asingkan bahagian kuning dan putih telur. Ambil bahagian putih telur dan sapukan pada muka yang berjerawat. Kandungan vitamin yang terdapat dalam telur mampu membantu korang mencegah jerawat. 

Macam Mieya, Mieya senang menggunakan ubat gigi je. Sejuk dan berangin je. mihmih :D

Selamat mencuba dan ucapkan selamat tinggal kepada jerawat !



Khasiat Kentang Untuk Kecantikan Kulit

Assalamualaikum wbt dan salam sejahtera kepada semua pembaca :)

Selama ini kita hanya mengenali kentang sebagai sayuran untuk dimakan kan? Tapi siapa sangka, sayuran yang satu ini selain enak dimakan, ia juga bermanfaat untuk merawat kulit kita.

Benar, kentang mempunyai khasiat yang tersembunyi yang boleh menjadikan wajah lebih mulus dan cantik. Antaranya :

1. Hilangkan Lingkaran Mata
Kebanyakan daripada kita, khususnya para gadis di luar sana sanggup menghabiskan wang untuk membeli krim atau sesejenis produk kecantikan yang diharapkan boleh menghilangkan lingkaran gelap di sekitar mata. sekarang tak perlu lagi. Kini, kita semua boleh berjimat hanya dengan menggunakan kentang untuk mengatasi masalah tersebut.

Caranya, Hiris kentang mentah dan letakkan di atas selapis keju nipis. Lalu diletakkan di bawah mata selama 20 minit. Zat yang terkandung dalam kentang boleh mencerahkan kulit dan akan menghilangkan lingkaran pada mata.

2. Menghilangkan Parut Wajah
Cucilah wajah dengan jus kentang sekerap mungkin. Cara ini dapat membantu mengurangkan noda-noda hitam yang mengotori wajah.

3. Masker Kentang
Potong kentang lalu sapu dan gosokkan ke kulit. Lakukan dengan berhati-hati dan tumpukan pada kawasan yang bermasalah. Biarkan hampas kentang tersebut menempel selama 30 minit, sebelum membasuhnya dengan air bersih.

4. Pembersih Kentang
Membuat pencuci muka dengan kentang, mengapa tidak? Pertama, campurkan parutan mentimun dan kentang. Kemudian, tambahkan satu sudu teh tepung serbuk penaik, sebutir telur dan 1/4 mangkuk air, lalu dikisar selama seminit. Setelah selesai melakukan rawatan muka, bersihkan wajah dengan kain lembut yang telah dibasahi dengan air.

Selamat mencuba dan semoga berhasil !


Tips Mengecilkan Liang Pori-Pori

Assalamualaikum

MASALAH muka berminyak disebabkan liang pori-pori terbuka sudah tidak asing lagi di kalangan wanita mahupun lelaki, termasuklah Mieya sendiri. Ya, masalah kulit berminyak semakin menghantui Mieya sekarang nie.

Pengeluaran minyak secara langsung bergantung kepada saiz liang pori-pori. Lebih besar liang pori-pori seseorang, pengeluaran minyaknya juga lebih banyak.

Punca liang pori-pori besar :

  • Terdedah kepada matahari secara berlebihan 
  • Merokok
  • Penuaan
  • Genetik (faktor keturunan) 
  • Mengamalkan diet yang tidak sihat dan pengambilan gula berlebihan 
  • Perubahan hormon akibat menopaus dan semasa hamil

Berikut adalah tips untuk mengecilkan pori-pori secara lebih efektif

  1. Cara terbaik mengelakkan pori-pori membesar adalah dengan memastikan kulit sentiasa dalam keadaan bersih setiap kali melakukan aktiviti yang mengeluarkan peluh. Gunakan juga produk pengelupasan seminggu sekali bagi menghilangkan lapisan kulit mati.

  2. Amalkan membasuh muka guna cleanser 2 kali sehari. Pagi dan malam sebelum tidur. Lagi bagus kalau cleanser tu ada tulis 'oil-control'.  

  3. Keringkan muka menggunakan tuala yang bersih selepas mencuci muka.

  4. Bedak asas daripada bahan air yang sesuai dengan jenis kulit adalah digalakkan.

  5. Pakai masker pembersih satu atau dua kali seminggu untuk perlindungan dan mengekalkan kebersihan kulit.

  6. Pastikan produk solekan anda mengandungi bahan bebas minyak, Kalau muka dah berminyak takkan nak cari produk yang mengandungi minyak lagi kan. Nanti bertambah teruk lah jadinya kan.

  7. Pastikan solekan dibersihkan menjelang petang dan jangan lupa menggunakan penyegar wajah (toner).

  8. Pastikan alat solek seperti berus dan span berada dalam keadaan bersih bagi mengelakkan tempekan kuman dan bakteria.

  9. Banyakkan minum air masak.

  10. Makan buah-buahan dan sayur-sayuran.

Selamat merajinkan diri dengan mengamalkan tips nie ye :)


Mitos VS Fakta Mengenai Rambut

Assalamualaikum wbt dan salam sejahtera kalian :)

Ingat lagi tak, waktu di zaman kanak-kanak kalian di mana rakan-rakan sebaya, mak cik, ibu-ibu sering berpesan kepada anak-anak, terutamanya kaum perempuan. "Jangan ikat rambut ketika basah, nanti berbuah". Dan tanpa usul periksa, kita semua menganggapnya sebagai satu fakta.

Nanti dulu, kerana tak semua informasi yang dikhabarkan terus kepada kalian itu benar. Ayuh, kita perhatikan yang mana satu fakta dan mana satu auta.

  • Perapi rambut boleh membaiki masalah rambut bercabang
Mitos - tak kiralah seberapa banyak iklan perapi yang mengaku boleh memperbaiki rambut bercabang. Perapi sememangnya boleh membaiki sehingga rambut bercabang akan berkurang. Namun hujung rambut yang bercabang akan tetap ada. Satu-satunya cara untuk menyingkirkan hujung rambut bercabang adalah dengan memotong rambut secara teratur setiap 4-6 minggu.

  • Lebih banyak bersyampu membuatkan rambut akan lebih bersih
Mitos - Tak kisahlah seberapa banyak syambu yang korang gunakan, asalkan ia telah membersihkan keseluruhan rambut hasilnya akan sama ssahaja. Jangan membazir syampu dan gunakanlah dalam jumlah yang secukupnya.

  • Jangan tidur dengan rambut basah kerana kurap akan tumbuh
Mitos - Korang sebenarnya boleh tidur dengan rambut basah tanpa risau kurap atau bakteria akan tumbuh di kulit kepala. Kulit kepala takkan didatangi kurap atau sebarang bakteria sekiranya korang rajin merawat dan menjaga kulit kepala agar sentiasa bersih.

  • Rambut akan tumbuh lebat dengan bersikat 100 kali atau lebih sehari
Mitos - Fikirkan semula tentang perkara ini. Bagaimana bersikat lebih 100 kali sehari boleh menumbuhkan rambut? Bersikat secara berlebihan sebenarnya boleh merosakkan kutikula apalagi jika korang menggunakan sikat yang salah.

  • Berkongsi sikat boleh menyebarkan penyakit
Fakta - Setiap orang harus punya sikat tersendiri.Sejumlah parasit seperti kutu boleh hidup pada sikat dan ia dengan mudah akan menular dari satu kepala ke kepala yang lain.

  • Mengikat rambut dengan tegang dan ketat boleh menyebabkan kebotakan
Fakta - Mengikat rambut tegang atau tertarik boleh menyebabkan alopecia. Situasi ini terjadi apabila korang sering mengikat rambut secara ketat tanpa membiarkan rambut berehat. Alopecia memang boleh menyebabkan kebotakan.

  • Makanan mempengaruhi kualiti dan kesihatan rambut
Fakta - Apa yang korang makan memiliki kesan terhadap kualiti dan kesihatan rambut. Pola makan yang seimbang ditambah pula dengan suplemen multivitamin akan membuatkan rambut korang tumbuh lebih sihat dan bersinar.

Jadi, diharapkan dengan perkongsian di entri kali nie sedikit sebanyak dapat membantu kita semua dalam memiliki rambut yang sihat dan lebih bersinar lagi

Salam bertemu lagi di lain entri :)


Cara mengatasi masalah mulut berbau

Assalamualaikum wbt :)

Selamat petang semua..


Disebabkan mood Mieya pada hari ini tersangatlah baik.. ececehhh,, macam baik lah sangat kan? Okay, kali nie Mieya nak meneruskan entry sambungan untuk entry sebelum nie yang agak tidak lengkap.. Bagi yang belum membaca entry Mieya yang lepas, sila-sila lah ringankan jari-jemari anda untuk ke sini ye :) Terima kasih.. 

Bagaimana nak tahu yang anda mempunyai masalah mulut berbau?

Agak susah untuk diri sendiri mengetahui yang dirinya mempunyai masalah mulut berbau kerana diri sendiri telah terbiasa dengan bau mulut.. Cara yang paling berkesan ialah dengan bertanya kepada mereka yang rapat dengan diri korang seperti suami, isteri, kawan rapat, ibu bapa atau anak-anak.. 

Janganlah merasa kecil hati apabila di tegur oleh orang yang rapat dengan korang sebaliknya korang perlu berterima kasih kepada mereka kerana korang boleh mengambil langkah seterusnya untuk mengatasi masalah ini..

Apa patut anda lakukan sekiranya mempunyai masalah ini?


1. Membersihkan gigi setiap hari
yesss, yang nie memang WAJIB korang buat setiap hari !  Pastikan korang memberus serta menggunakan benang flos dengan betul setiap hari kerana ini akan membantu dalam membuang bakteria dan lebihan makanan yang digunakan oleh bakteria untuk hidup.. Dengan ini, bakteria tidak dapat menghasilkan sulfur yang boleh menyebabkan mulut korang berbau.. 

Pastikan juga korang tidak terlalu tergesa-gesa semasa memberus dan flos gigi korang kerana ia tidak akan menghilangkan semua bakteria tersebut..  Ambillah masa paling kurang 2 atau 3 minit untuk memberus gigi..


2. Membersihkan lidah setiap hari
Ramai di antara kita yang kadangkala terlupa untuk membersihkan lidah semasa menggosok gigi.. Ingatlah bahawa kebanyakan bakteria tersembunyi di rekahan pada lidah dan juga di bahagian belakang lidah.. Korang boleh membersihkan lidah dengan menggunakan pembersih lidah (tongue cleaner).. 

Ada juga berus gigi jenis mempunyai pembersih lidah di belakang kepala berus gigi.. Selain itu, korang juga boleh menggunakan berus gigi yang lembut untuk memberus lidah secara perlahan-lahan dengan menggerakkan berus dari belakang lidah ke bahagian hadapan berulang kali sehingga bersih..


3. Minumlah air
Korang memang disarankan untuk meminum air paling kurang pon 2 liter sehari.. Adalah lebih baik jika korang mengisi air ke dalam botol dan sentiasa meneguk air dengan kerap sepanjang hari.. Dengan ini mulut korang akan sentiasa dibasahi air sepanjang hari.. 

Untuk mereka yang mengalami masalah kekeringan mulut disebabkan ubat atau mereka yang selalu bercakap, cara ini paling bagus untuk memastikan mulut korang sentiasa berair.. Meminum air boleh merangsang pengeluaran air liur, membilas lebihan sisa makanan pada gigi, dan juga melembabkan mulut yang membuatkan ia kurang sesuai untuk di diami oleh bakteria anaerobik..



4. Elakkan guna pencuci mulut yang mempunyai alkohol
Ramai yang menyangka bahawa dengan menggunakan pencuci mulut, bau nafas akan menjadi segar dan tidak berbau tetapi mereka tidak merawat punca sebenar mulut mereka berbau.. Dan jika menggunakan ubat kumur yang mempunyai alkohol, ia boleh menyebabkan kekeringan di dalam mulut yang menggalakkan pembiakan bakteria yang menyebabkan bau mulut.. Jika korang hendak menggunakan ubat kumur, pastikan ia tidak mengandungi alkohol..


5. Mengunyah gula getah tanpa gula
Jika korang tidak dapat memberus gigi selepas makan ( terutamanya makan tengah hari ataupun snek), korang boleh mengunyah gula getah tanpa gula.. Dengan mengunyah gula getah, sisa-sisa makanan boleh dibersihkan dan pengeluaran air liur akan di rangsang..


6. Periksa gigi jika terdapat tanda-tanda penyakit gusi dan tulang ( gingivitis, periodontal problem)
Penyakit gusi (periodontal problem) adalah disebabkan jangkitan kuman pada gusi dan juga pada ligamen yang memegang gigi.. Ini menyebabkan poket gusi menjadi dalam dan bakteria suka bersembunyi di situ.. Doktor gigi boleh merawat penyakit gusi dan membersihkan gigi korang dari plak dan karang gigi dan ini seterusnya boleh menghilangkan bau pada mulut korang..



7. Berjumpalah dengan doktor gigi untuk pemeriksaan paling kurang setahun sekali
Selalunya kita tidak menyedari yang diri kita mempunyai masalah gigi dan gusi sekiranya tidak berjumpa doktor gigi untuk pemeriksaan.. Jika korang telah berasa sakit gigi, maka selalunya tahap kerosakan atau penyakit gusi telah serius.. Doktor gigi boleh mengesan dengan awal sekiranya korang mempunyai masalah dan segera mengatasinya sebelum ia menjadi teruk..



Sebenarnya, Mieya tiada apa-apa motif pon dalam membuat entry ini.. Saje je nak berkongsi sedikit ilmu dengan korang-korang semua.. ye la, siapa yang mahu bila kawan-kawan semakin menjauh daripada diri  kita kan? Apa-apa pon yang kita nak atau harapkan, semuanya bermula dengan diri sendiri.. Mulakan dengan diri sendiri dulu, then barulah fikirkan pasal orang lain pulak.. kan kan kan? Seriously, korang kena anggukkan kepala tanda setuju dengan pendapat Mieya :)


p/s : Selamat mencuba ye kawan-kawan !