Pejam celik pejam celik, lagi beberapa jam sahaja daripada sekarang, kita akan bertemu di tahun baru dalam kalendar Islam, iaitu tahun 1434H.
Marilah sama-sama kita mengambil masa sedikit untuk mengimbau kembali apakah pengertian yang sebenarnya di sebalik bulan muharam ini dan juga mengingati kembali peristiwa-peristiwa penting yang berlaku pada bulan muharam itu sendiri.
MUHARAM adalah bulan pertama dalam Sistem Kalendar Islam (Hijriah). Awal Muharram atau Maal Hijrah merupakan suatu hari yang penting bagi umat Islam kerana menandakan peristiwa penting yang berlaku dalam sejarah Islam iaitu memperingati penghijrahan Nabi Muhammad s.a.w dari Kota Makkah ke Madinah pada tahun 622 Masihi.
Peristiwa bersejarah itu berlaku pada 1 Muharram tahun baru bagi Takwim Hijrah. Namun Tahun Hijrah Rasulullah SAW dari Mekah ke Madinah itu diambil sebagai permulaan kiraan bagi kalendar Hijrah.
Doa Awal Tahun dan Akhir Tahun :)
PERISTIWA PENTING BULAN MUHARAM : -
- 1 Muharam - Khalifah Umar Al-Khattab menetapkan adalah hari pertama bagi setiap tahun baru Islam (Kalendar Hijriah).
- 10 Muharam - Dinamakan juga hari ‘Asyura’. Pada hari itu banyak terjadi peristiwa penting yang mencerminkan kegemilangan bagi perjuangan yang gigih dan tabah bagi menegakkan keadilan dan kebenaran.
Disunatkan pada bulan Muharram ini untuk kita berpuasa, sebagaimana yang diriwayatkan oleh Imam Muslim dalam shahihnya dari Abu Hurairah berkata, Rasulullah SAW telah bersabda,
“Puasa yang paling utama setelah (puasa) Ramadhan adalah bulan Allah yakni Muharram.”
Diharapkan permulaan lembaran baru tahun Hijrah 1434 ini dapat kita jadikan sebagai titik tolak untuk kita penuhi tahun ini dengan azam dan semangat yang lebih berbanding tahun-tahun sebelumnya.
Jadikan tahun ini sebagai tahun untuk kita berhijrah ke arah kebaikan, meninggalkan segala kejahatan dan keburukan. Semoga setiap perlakuan dan perbuatan kita hari ini dan hari-hari seterusnya akan mendapat keberkatan dan diredhai Allah Ta’ala. Selamat Menyambut Awal Muharram 1434H.