North Staffordshire – Hanya kerana bosan, seorang penganggur bertindak menghubungi panggilan kecemasan 999 sebanyak 100 kali dalam masa enam hari.
Ketika membuat panggilan berkenaan, Yasmin Adam berulang kali memberitahu bahawa dia akan memecahkan kereta peronda polis dan menyerang anggota polis.
Namun tindakan bodohnya itu menerima padah selepas polis berjaya mengesan panggilan tersebut yang dibuat dari rumahnya di Fenton, Staffordshire.
Dia akhirnya diarahkan menjalani khidmat kemasyarakatan selama 24 bulan di bawah pengawasan.
Selain itu, Yasmin juga diarah membayar kos sebanyak £85.
Menurut dokumen mahkamah, panggilan itu dibuat melalui telefon bimbitnya dan dia menggunakan tiga sim kad.
Ketika ditahan dia memberitahu “Saya bosan’.
Yasmin juga tidak dapat memberikan alasan kenapa dia menghubungi talian kecemasan berkenaan, hanya memberitahu mahkamah dia berbuat demikian dalam keadaan mabuk.
Bagaimanapun Hakim ketika memutuskan hukuman berkata, wanita tersebut tidak mempunyai alasan untuk membahayakan nyawa orang lain hanya disebabkan dia mabuk.
“Jika awak melakukan perkara sama seperti ini di masa depan, mahkamah tidak akan bertolak ansur lagi dan awak akan terus ke penjara,’’ kata hakim.
Jelas hakim, tiada sesiapa pun boleh berkelakuan buruk seperti itu dan kemudiannya terlepas begitu sahaja.