LONDON – Seorang budak berusia 12 tahun yang mendapat markah A bagi subjek matematik
dalam peperiksaan sekolah menengah kini menjadi mahasiswa termuda Britain.
dalam peperiksaan sekolah menengah kini menjadi mahasiswa termuda Britain.
Berdasarkan umurnya, Xavier Gordon-Brown mungkin terlalu muda untuk dibenarkan membuka akaun di Facebook, namun pada masa sama, dia kini mengikuti kursus matematik bagi peringkat ijazah.
Gordon-Brown layak mengikuti pengajian peringkat universiti selepas lulus ujian Sijil Umum Pendidikan Menengah (GCSE) pada 2009 dan menjadikan dia calon termuda memperoleh markah A dalam subjek berkenaan.
Kini, Gordon-Brown mengikuti kelas pengajian di Universiti Terbuka di Grinstead Timur dua atau tiga kali sebulan.
Disebabkan usianya juga, Gordon-Brown terpaksa ditemani ibunya setiap kali dia pergi ke dewan kuliah.
Berasal dari Haywards Heath di Sussex, Gordon-Brown masih meneruskan persekolahannya seperti biasa, selain menyertai pelbagai aktiviti seperti belajar bermain klarinet, piano dan biola.
Di sekolah, Gordon-Brown mempelajari empat bahasa asing dan aktif bermain bola.
Dia mengikuti kuliah apabila tiada sesi persekolahan atau aktiviti berkaitan dengannya.
Ibu Gordon-Brown, Erica, berkata dia amat bangga dengan pencapaian anak bongsunya itu.
Walaupun ada ibu bapa yang memastikan anak mereka membesar di kalangan rakan sebaya, dia berpendapat, Gordon-Brown boleh menyesuaikan diri bergaul dengan mahasiswa yang jauh lebih dewasa daripadanya.
“Adalah baik untuk Gordon-Brown dapat berkawan dengan seseorang yang memiliki tahap intelektual setara dengannya,” katanya.
Minat Gordon-Brown kepada angka bermula sejak awal.
Kata Erica, anaknya itu mula menguasai kemahiran sifir sebelum berusia empat tahun dan mampu menyelesaikan soalan aritmetik mental walaupun belum bersekolah.
“Setahun selepas mencatat kejayaan di peringkat GCSE, Gordon-Brown lulus peperiksaan A-level,” katanya. – DM
P/S : kecik-kecik lagi dah celik pandai, berilmu tinggi. Untungnya dia kan?